Friday 24 June 2011

Alangkah beruntungnya menjadi wanita!!!!

Darjat seorang wanita disisi Islam adalah sangat tinggi dan mulia. Wanita adalah golongan yang perlu dihormati, dijaga maruahnya, disayangi dan dikasihi . Seorang ibu yang telah berkorban seluruh jiwa dan raganya untuk melahirkan dan membesarkan anaknya adalah merupakan seorang wanita yang dipandang mulia oleh Allah S.W.T. Allah S..W.T akan mengurniakan pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda untuk para wanita yang sanggup berkorban di jalan Allah.


Berikut merupakan keistimewaan wanita menurut Islam yang telah disebutkan di dalam beberapa hadith sahih dan difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Qur'an. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menghormati dan menghargai para wanita yang solehah. Berbahagialah engkau wahai bidadari penghuni syurga !


1. Wanita yang solehah (baik) itu lebih mulia darjatnya daripada 70 orang lelaki yang soleh.

2. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. Manusia yang takutkan Allah S.W.T pula akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

3. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya adalah sama seperti bersedekah.

4. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyenangkan hati anak perempuannya pahalanya seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w)

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga .

7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka".

8. Syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila ayah dan ibumu memanggilmu serentak , Rasulullah s.a.w telah mengajar kita untuk menjawab panggilan ibu terlebih dahulu.

10. Wanita yang taat kepada suaminya akan tertutup untuknya pintu-pintu neraka dan terbuka baginya pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung-burung di udara, para malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya akan beristighfar untuknya selama mana dia masih taat kepada suaminya

12. Aisyah r.a. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, Siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula yang lebih berhak terhadap seorang lelaki ?" Tanya Aisyah kembali, Jawab Rasulullah S.A.W lagi, "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui pintu syurga yang mana satu yang dia kehendaki.

14. Setiap seorang perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mengurniakan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit ketika hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

20. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali Allah S.W.T.

21. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk dari pada 1,000 orang lelaki yang jahat.

22. 1 rakaat solat daripada wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

23. Wanita yang memberi minum air susu ibu kepada anaknya daripada badannya (susu badannya sendiri) akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

24. Wanita yang melayani suaminya dengan baik apabila suaminya pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

25. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

26. Wanita yang membenarkan suaminya keluar berjuang di jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, wanita itu juga akan menjadi ketua kepada 70,000 malaikat dan bidadari syurga dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, serta akan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga ananyak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia menghiburkan hati anaknya Allah akan memberi 12 tahun pahala beribadah.

28. Wanita yang memerah susu binatang dengan bacaan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

29. Wanita yang menguli tepung gandum dengan  membaca "Bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

30. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.

31. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti berpuasa pada siang hari.

32. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti beribadat pada malam hari.

33. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah akan mengurniakan satu pahala haji.

34. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid di jalan Allah.

35. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

36. Jika wanita menyusui anaknya sehingga mencukupi  tempoh(2½ thn), maka malaikat-malaikat dilangit akan membawa khabar berita itu ke syurga dan syurga itu dikatakan adalah wajib baginya. Dan jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang sedang menangis, InsyaAllah Allah akan memberikan padanya pahala satu tahun solat dan puasa.

37. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.

38. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

39. Jika suami mengajarkan isterinya akan sesuatu perkara yang tidak diketahuinya ,beliau akan mendapat pahala seperti 80 tahun beribadah.

40. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan terus kepada wanita yang menutupi auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.


Oleh itu wahai para wanita muslimah yang dihormati dan disegani, bangkitlah dan niatkanlah setiap amalanmu adalah untuk mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa. Semoga anda akan turut menjadi salah seorang wanita pilihan yang diberikan ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya diakhirat kelak. 
Amin.

Tambah Rezeki dengan berkahwin...

Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaanNya.
Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.
 


Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.
Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.
Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.



Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)


Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.
Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)




Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.
Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.
Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'


Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.

# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.




# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.

# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.

# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.



# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.

Tuesday 7 June 2011

Nikmat cinta..(",)

Indahnya Islam, ia mengatur cinta sesuai dengan tuntutan kehidupan.
Bagaimanapun, untuk memenuhi keperluan dan tuntutan cinta,
ia menuntut adanya pengorbanan. 


Orang yang cinta kepada kekasihnya, mesti sanggup
menanggung susah payah, 
sanggup menempuh halangan dan sanggup mengorbankan hak 
miliknya demi cintanya kepada kekasihnya itu.
Sebesar mana rasa cintanya kepada si kekasih, 
biasanya dapat dilihat pada sejauh mana
dia sanggup mengorbankan sesuatu miliknya untuk diberikan 
kepada kekasihnya.


Ada yang sanggup mengorbankan separuh hartanya, 
ada yang sanggup mengorbankan lebih 
atau kurang dari itu. 
Ada yang sanggup mengorbankan masa rehatnya pada
hujung minggu,
Ada pula yang sanggup korbankan masa rehatnya
setiap malam hanya semata-mata untuk 
memupuk cintanya kepada
si kekasih.


Demikianlah juga cinta hamba kepada Allah.
Sejauh mana tingginya rasa cinta itu 
dapat dilihat pada pengorbanan
si hamba demi meluahkan cinta kepadaNya dan
menghambat cinta dariNya, baik
pengorbanan berupa harta,
masa, tenaga, atau nyawa.


Untuk membuktikan cinta kepada Tuhan,
si hamba sanggup menerima apa saja 
dugaan yang datang dengan sabar, berlapang dada
dan redha.
Hinggakan segala dugaan hidup walau apa
pun bentuknya, menjadikan cinta bertambah kental.

Sememangnya dugaan dalam hidup adalah kemestian yang Allah 
tetapkan untuk menguji tahap kecintaan
hamba kepadaNya..
Cinta yang mendalam kepada Allah membolehkan
si hamba merasakan dugaan hidup itu
ringan walaupun ia sebenarnya berat.
Kita masih boleh senyum dalam menanggung derita,
tenang dalam sengsara, dan boleh bahagia
dengan keadaan serba tidak ada.

Natijah dari pengorbanan seorang hamba
demi cintanya kepada Allah, ialah
memperolehi kemanisan iman,
ketenangan hati,
dan kebahagiaan sejati


Setiap detik kita berada dalam nikmatNya dan
setiap detik kita berada di bawah lembayung rahmat serta 
kasih sayangNya..
Maka sepatutnya setiap detik pula kita meluahkan
cinta kepadaNya dan untukNya.

NIKMATNYA CINTA
(",)
.................
End